Friday, January 8, 2010

Chelsea ada ramuan juara

LONDON - Michael Ballack mendedahkan, pengurusnya, Carlo Ancelotti telah menemui rahsia sebenar untuk mengubah Chelsea menjadi pasukan yang mampu bergelar juara.
Dedah Ballack, caranya ialah dengan membiarkan pemain meluahkan perasaan mereka secara jujur.
"Saya adalah sebahagian daripada pasukan ini yang sudah bersedia memenangi gelaran utama sekali lagi dan kali ini, kami memiliki pengurus yang mampu membawa keseimbangan kepada kelab," kata Ballack.
"Pasukan terbaik ialah mereka yang menang sebagai sebuah pasukan dan itulah idea yang dibawa oleh Ancelotti dalam pasukan ini.
"Saya rasa hakikat bahawa kami masih mendahului Liga Perdana England dan masih berkeinginan memperbaiki kelemahan adalah tanda bahawa pasukan ini memiliki potensi luar biasa."
Ballack menerangkan bahawa pengurus dari Itali itu juga membenarkan semua pemain skuad itu meluahkan masalah mereka dan mencari penyelesaian bersama daripada membiarkan masalah itu berlanjutan.
"Kami kini mempunyai hubungan baik dengan Ancelotti dan semua pemain percaya beliau adalah individu yang boleh bekerja untuk kami," kata Ballack.
"Beliau tiba di kelab ini yang mempu- nyai ramai pemain bintang dan berpenga- laman yang mahu melontarkan idea dan cadangan mereka di atas padang.
"Mungkin itulah masalah kepada pengurus sebelum ini kerana ini adalah pasukan yang tidak takut menyokong antara satu sama lain."

'Lakonan' Ronaldo Dikritik Hebat Peminat








LONDON - Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi perhatian berikutan insiden baru dia sengaja menjatuhkan badan.
Sebelum ini, reputasi pemain sayap Portugal itu kerap kali menjadi cemu- han ekoran tindakannya yang sering menjatuhkan diri ketika beraksi buat Manchester United.
Kini pemain berharga £80 juta (RM430 juta) itu membuktikan bahawa tabiatnya itu sukar sekali dibuang apabila dia mengulanginya ketika Real seri 0-0 dengan Osasuna dalam aksi Liga Sepanyol, Sabtu lalu.
Ronaldo dikritik hebat oleh peminat Osasuna dan dikutuk setiap kali menyentuh bola setelah dia menjatuhkan diri dalam kotak penalti dengan sengaja pada babak pertama.
Begitupun, Ronaldo memandang remeh tentang kutukan tersebut dengan menegaskan: "Semua kutukan itu hanya masuk ikut telinga kiri dan keluar ikut telinga kanan.
"Untuk menerima layanan buruk sedemikian adalah biasa bagi saya.
"Selepas Piala Dunia 2006, ia berlaku di mana-mana saja termasuk di England tetapi saya masih diundi memena- ngi anugerah Pemain Terbaik Dunia 2008."
Ronaldo juga mengakui bahawa dia menggunakan kutukan tersebut sebagai motivasi.
"Ramai orang benci kepada saya tetapi masih juga ramai yang menyaya- ngi saya."

Monday, January 4, 2010

Real gagal pintas kedudukan Barca


MADRID - Real Madrid mempersia-siakan peluang untuk memintas Barcelona di kedudukan teratas Liga Sepanyol apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Osasuna awal pagi semalam.
Kemenangan sepatutnya boleh meletakkan Real di persada liga dengan kelebihan jaringan setelah Barcelona melepaskan mata buat pertama kali di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan Villarreal pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, persembahan bertenaga Osasuna di hadapan penyokong sendiri selain ketumpulan barisan Manuel Pellegrini mengekalkan Real di tangga kedua dengan ketinggalan dua mata berbanding Barcelona selepas 16 perlawanan.
Barcelona kini mengumpul 40 mata manakala Valencia yang menewaskan Espanyol 1-0 pada Sabtu lalu kini menghuni tangga ketiga liga dengan 32 mata.
Real turun tanpa perancang utama mereka, Kaka yang cedera tetapi Cristiano Ronaldo (gambar) beraksi dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-88 sebelum sepakannya dari jarak 30 meter sedikit sipi.
"Kami memiliki peluang untuk memenangi perlawanan ini tetapi pasukan lawan telah memberi kesukaran kepada kami dengan kerja keras mereka sepanjang perlawanan.
"Pemain-pemain kami telah berusaha sedaya upaya dan tiada cacat celanya persembahan mereka. Masih ada masa lagi untuk memintas Barcelona," kata pengarah urusan Real, Jorge Valdano. - Reuters

United Tekad Bangkit


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson (gambar) akan mempertaruhkan barisan terbaik pada pertemuan menentang Manchester City dalam aksi separuh akhir Piala Liga awal pagi Khamis ini.
Bagaimanapun, Ferguson akan tetap dengan polisinya dengan membariskan pemain-pemain muda apabila berdepan dengan skuad kendalian Roberto Mancini itu.
Kekalahan 0-1 kepada Leeds United pada pusingan ketiga Piala FA kelmarin telah membuatkan Ferguson melakukan beberapa perubahan pemain sebelum berkunjung ke Eastlands nanti.
Feguson mengakui, dia tidak menyangka skuad kendaliannya akan tewas kepada Leeds kerana telah melakukan persiapan yang cukup baik.
"Ianya sangat mengecewakan tetapi dalam bola sepak semua ini tidak mustahil akan berlaku."
"Kami ada perlawanan separuh akhir Piala Liga Rabu ini (awal pagi Khamis) dan beberapa pemain yang beraksi hari ini (kelmarin) tidak akan diturunkan."
"Saya sudah mempunyai gambaran pasukan yang akan diturunkan nanti tetapi mungkin akan ada satu atau dua perubahan," jelas Ferguson.
Sehari sebelum aksi menentang Leeds, tonggak pertahanan United, Nemanja Vidic dilaporkan telah mengalami kecederaan sehingga dia tidak dapat diturunkan.
"Saya tidak dapat memberi penjelasan mengenai situasi itu kerana saya sendiri tidak tahu kecederaan apa yang dialaminya," katanya.
Dalam pada itu, Ferguson bakal berdepan tindakan disiplin apabila dia mengkritik pengadil Chris Foy sejurus selepas tamat aksi kelmarin.
Persatuan Bola Sepak (FA) England menolak dakwaan Ferguson yang mengatakan Foy tidak memberi masa tambahan yang cukup pada aksi di Old Trafford itu.
"Pengadil hanya memberi lima minit masa kecederaan dan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," jelas Ferguson. - Agensi

Liverpool batal niat beli van Nistelrooy





LONDON - Rafael Benitez terpaksa membatalkan hajatnya untuk membawa Ruud van Nistelrooy (gambar) selepas mengambil kira rekod kecederaan yang dialami penyerang Real Madrid itu.

Pengurus Liverpool itu terdesak untuk membawa pemain baru, namun dia perlu menjual beberapa pemainnya seperti Andriy Voronin, Andrea Dossena atau Ryan Babel.

Dia juga berdepan risiko apabila meminta harga sehingga £12 juta (RM66 juta) ke atas Babel dan £5 juta (RM28 juta) bagi Voronin yang dibelinya secara percuma dua tahun lalu.

Benitez sedar dia harus mengurangkan harga tersebut sekiranya mahu meneruskan rancangannya untuk membawa pemain sayap Atletico Madrid, Maxi Rodriguez dan seorang pemain penyerang.

Dalam pada itu, van Nistelrooy mungkin akan mempertimbangkan tawaran daripada Blackburn Rovers, Birmingham City dan Bolton Wanderers untuk mencerahkan semula kariernya.


Dia kini terdesak kembali semula ke Liga Perdana England kerana mahu dipilih dalam skuad Belanda pada kempen Piala Dunia 2010.

Van Nistelrooy tidak memiliki peluang itu sekiranya dia kekal di Real yang mana dia menjadi pilihan kelima. - Agensi

Rooney penghalang Owen sertai England



OWEN (kanan) perlu bersaing dengan Rooney bagi mendapat tempat dalam skuad kebangsaan England pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.


LONDON - Impian Michael Owen untuk beraksi pada kempen Piala Dunia 2010 mungkin akan terhalang oleh kehebatan bakal gandingannya, Wayne Rooney.

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memberitahu, dia akan membantu Owen untuk dipilih dalam skuad England, namun mengakui penyerang itu masih berdepan halangan terbesar.

Peluang Owen untuk bermain dalam skuad utama United seperti yang diminta oleh jurulatih England, Fabio Capello, adalah terhad kerana dia terpaksa bersaing dengan Rooney.

Sejak Rooney memegang status sebagai penyerang No. 1 United dan England, masa depan Owen yang pernah memegang reputasi itu kini dalam bahaya dan dia mungkin dipinggirkan dalam skuad England ke Afrika Selatan nanti.

"Saya yakin Michael sudah pasti mahu bermain di Piala Dunia, dia seorang pemain yang berkemampuan menjaringkan gol," kata Ferguson.

"Dia mahu mendapatkan semula reputasinya ketika beraksi pada Piala Dunia 1998.

"Kami akan cuba beri peluang kepadanya sebaik mungkin tetapi ia sukar apabila kami mempunyai skuad yang besar seperti kami."

Sementara itu, tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand berazam melupakan segala kepahitan dalam kariernya tahun lepas.

Bintang United dan England itu hanya bermain 31 daripada 74 perlawanan buat kelab dan negaranya tahun lepas.

Ferguson dan Capello pastinya gembira selepas mendapat khabar bahawa Ferdinand telah menjalani latihan minggu lepas tanpa sebarang kesakitan. - Agensi

Gerrard penyelamat Liverpool





READING – Pengurus Liverpool, Rafael Benitez menegaskan, Piala FA masih menjadi keutamaan skuad The Reds.

Awal pagi semalam, Liverpool hampir tersingkir daripada kempen Piala FA sebelum mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Reading pada pusingan ketiga.

Kapten Steven Gerrard (gambar) menyelamatkan maruah Liverpool apabila menjaringkan gol penyamaan pada aksi di Stadium Madejski itu.

Sebelum itu, Reading berjaya mendahului hasil jaringan Simon Church pada minit ke-24.

Keputusan seri itu menyaksikan perlawanan ulangan terpaksa diadakan di Anfield pada 12 Januari ini.

Benitez mengakui, pasukannya perlu memperbaiki prestasi mereka jika berhasrat menjuarai Piala FA musim ini.

“Saya sangat lega. Saya rasa ia agak sukar. Reading bermain dengan baik. Bagi mereka, turun menentang Liverpool dan disiarkan dalam televisyen, ia adalah suntikan semangat dan kamu boleh lihat mereka bermain dengan baik.

“Kamu juga boleh lihat kami cuba melakukan yang terbaik dengan menurunkan pasukan yang kuat dan kami akan jumpa mereka sekali lagi di Anfield,” jelas Benitez.

“Kami mempunyai dua atau tiga situasi terbaik untuk menang tetapi mereka juga memiliki peluang. Jadi pujian juga kepada mereka.” - AFP